02 Ogos 2009

Bengkel Fotografi Kebangsaan Ke-5




Peserta bergambar dengan penceramah bengkel




En. Hassan Muthalib sedang menyampaikan ceramah beliau
bertajuk "Kecemerlangan dalam fotografi '





Foto oleh: Ikhwan Hashim.


Pusat Penerbitan dan Percetakan UKM telah menganjurkan Bengkel Fotografi Kebangsaan Ke-5 bertempat di Langkawi Geopark. Kursus selama empat hari bermula 2 hingga 5 Ogos disertai oleh peserta dari seluruh negara akan mendedahkan bagaimana menghasilkan karya foto yang bermutu untuk penerbitan.

Empat orang penceramah iaitu Prof. Dr. Kamaruddin M.Said,Ketua Pusat Penerbitan dan Percetakan, En. Hassan Muthalib, Presiden ANIMASI Malaysia, Pengarah filem Silat Lagenda. Abd. Raai Osman dan Hairul Ismail, telah menyampaikan ceramah di bengkel tersebut.

Peserta telah menjalankan amali disekitar Langkawi seperti di Pantai Cenang dan pulau-pulau kecil.

21 Julai 2009

Menjulang nama UKM kepersada global




Gambar: Ismail, Raai dan Ikhwan [
klik di sini]

Ke Bawah DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir menzahirkan kekaguman dengan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di UKM, terutamanya rancangan transformasi untuk melonjak menjadi salah satu daripada 50 Universiti ternama dunia pada tahun 2018.

"Beta penuh yakin dan berdoa, dengan komitmen serta sinergi pemimpin dan warganya, UKM mampu mencapai harapan tersebut. Untuk itu, Beta ucapkan syabas kepada Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor dan seluruh warga UKM", titah Tuanku Munawir.

Baginda bertitah demikian di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas yang diadakan dalam istiadat penuh gilang gemilang bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di kampus UKM Bangi.

Baginda Tuanku Munawir telah dimasyhurkan sebagai Canselor yang ketiga UKM, telah melahirkan rasa gembira dengan pencapaian UKM, yang bukan sahaja telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Universiti, malah telah meletakkan dirinya duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan Universiti dan Institusi ternama dunia dalam pelbagai bidang kerjasama.

Di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas, ini UKM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Peradaban Islam kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia.

"Penganugerahan ini adalah tanda penghormatan UKM atas kepimpinan cemerlang Tun Abdullah selama lebih empat dekat sebagai pentadbir kerajaan, termasuk empat tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia", titah Tuanku Canselor.

Tuanku Canselor juga betitah, "Antara lain, beliau tanpa jemu, telah melaksanakan pelbagai program yang mengajak rakyat jelata menghayati prinsip-prinsip moral dan etika dalam segala kegiatan kehidupan".

Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas ini turut dihadiri oleh Tengku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,Pro Canselor Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad, Naib Canselor Y.Bhg. Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Timbalan-Timbalan Naib Canselor UKM, Kerabat DiRaja Negeri Sembilan,Tun Jeanne Abdullah dan pegawai-pegawai kanan UKM.

17 Julai 2009

Program Mobaliti Pelajar


Peserta dibawa melawat Muzium di Kuching, Sarawak


Di Kinabalu Park, Sabah


Peserta dibawa melawat Tasik Dayang Bunting
di Pulau Dayang Bunting, Langkawi

Laporan Raai Osman dari Kuching, Sarawak 17 Julai 2009
Gambar oleh: Ismail, Raai dan Ikhwan
Vedio: Daud,Kamarul,Ramli, Ruhaizat, Jasril,Wafi dan Firdaus

Seramai 60 orang pelajar termasuk dari antarabangsa, sedang mengikuti program mobaliti di UKM. Program yang bertujuan mengantarabangsakan pelajar UKM ini telah berjaya membawa mereka ke Langkawi Geo Park, Cameron Highland, Sabah dan Sarawak.

Ketika lawatan ini dijalankan mereka dibawa melawat kampung orang asli di Gombak, Pulau Carey, pulau-pulau di Langkawi, Kinabalu Park, Muzium Sabah, bermalam rumah panjang di Sabah, Muzium di Sarawak, menyusuri Sungai Sarawak dan bermalam di Rumah Budaya Sarawak.

Sebelum itu pelajar-pelajar ini telah diberikan kuliah oleh Profesor-Profesor UKM dalam bidang Sains dan Sains Kemasyarakatan.

15 Julai 2009

Majlis pelancaran buku Memoir Johari Salleh


YABhg Tun Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid sedang melancarkan buku Buku Memoir Johari Salleh- Tegar Meladeni Industri Muzik.

Kelihatan dalam gambar; dua dari kiri Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin Naib Canselor, Isteri Dato' Johari Salleh dan Dato' Johari Salleh.

29 Jun 2009

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan



Foto: Ismail, Raai dan Ikhwan



Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini menekankan tiga perkara untuk diamati oleh pelajar baru sesi akademik 2009-2010.

Pertama adalah sejarah penubuhan UKM, keunggulan sebagai universiti kebangsaan dan yang ketiga adalah iltizam dan peranannya sebagai universiti penyelidikan yang sedang bergerak sederap universiti terkemuka dunia.

Menurut Naib Canselor, "UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 hasil aspirasi Raja-Raja Melayu sejak 1903 dan perjuangan nasionalis bangsa sejak 1920an yang mahukan sebuah universiti yang menerajui sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sejak penubuhannya UKM telah berjaya memartabatkan dan mengangkat Bahasa Kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu yang utuh dan diiktiraf di mata dunia ".

Perkara kedua yang disentuh oleh Naib Canselor ialah keunggulan UKM sebagai satu-satunya universiti kebangsaan di Negara ini.

"Perkataan kebangsaan mempunyai makna yang besar. Kita melambangkan ikon identiti Negara dan paksi penyatuan dan perpaduan negara bangsa", tegas Naib Canselor.

"Justeru tanggungjawab kita mencapai 1Malaysia amatlah berat. Komposisi pelajar di kampus juga melambangkan komposisi masyarakat Negara. Justeru apa yanbg kita lakukan di kampus boleh menjadi contoh yang baik bagi 1Malaysia ", sambung Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah.

Beliau berharap para pelajar akan memainkan peranan yang aktif untuk menterjemahkan misi 1Malaysia dari segi perpaduan kaum dan integrasi anatara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Bagi perkara ketiga, Naib Canselor menegaskan sebagai universiti penyelidikan, UKM sedang bergerak sederap dengan unversiti terkemuka dunia.

"UKM dipilih sebagai universiti penyelidikan berasaskan prestasinya yang cemerlang sejak ditubuhkan. Untuk memacu lagi kemajuan UKM, satu pelan transformasi telah dihasilkan bagi merangsang aspirasi sebuah universiti kebangsaan untuk sederap universiti terkemuka menjelang 2018. Pelan ini berlandaskan satu ekosistem ilmu UKM yang sangat unik. Para pelajar sekalian haruslah mengambil tahu dan memahami ekosistem ini kerana semua kita terlibat dalam menjayakannya", demikian tegas Naib Canselor.

Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah berucap demikian di hadapan 3,857 pelajar baru UKM sesi 2009-2010 yang melafazkan ikrar di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).


Turut hadir Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan-Dekan dan pegawai-pegawai kanan UKM.

Naib Canselor juga mahukan pelajar mengimbangi kegiatan akademik dan kokurikulum untuk membina kebertanggungjawapan sosial dan kemasyarakatan, kepimpinan dan jati diri.

28 Jun 2009

"Ibu bapa tidak perlu risau"; Naib Canselor


Naib Canselor, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah
Syed Hasan Shahabudin bersama pegawai kanan UKM




Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah
sedang bermesra dengan pelajar baru di Kolej Amiruddin Baki UKM


Foto: Ismail, Raai dan Ikhwan.



Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil langkah-langkah pencegahan wabak Influenza A (H1N1) mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia. UKM menyediakan 10 katil di Pusat Kesihatan bagi membuat kuarantin jika terdapat pelajar menunjukkan tanda-tanda H1N1. UKM membuat langkah pencegahan ketika menerima pelajar baru hari ini di sepuluh kolej kediamannya.


Pelajar-pelajar yang mengendalikan proses pendaftaran telah dilatih oleh Pusat Kesihatan UKM untuk membuat penyaringan wabak H1N1.UKM telah membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni )Prof. Dato’ Dr Ahmad Razak dan pakar-pakar perubatan dari Pusat Perubatan UKM (PPUKM)


Bagi pelajar yang datang dari negara beresiko tinggi proses kuarantin sehingga 7 hari akan dilakukan. Semasa proses kuarantin ini pelajar hanya dibenarkan berada didalam bangunan kediaman dan kebajikan mereka akan diberikan perhatian.


Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menyatakan demikian dalam sidang akhbarnya di Kolej Burhanuddin Helmi semasa lawatan ke kolej sempena hari pendaftaran pelajar baru bagi sesi akademik 2009-2010.


Hari ini UKM menerima pelajar baru seramai 3781 orang. Pelajar-pelajar ini mendaftarkan diri di kolej-kolej kediaman. Menurut Naib Canselor sehingga jam 12 tengahari belum ada pelajar yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda H1N1 .

Menurut Naib Canselor UKM menerima 30% pelajar lelaki dan 70% pelajar perempuan. Peratus ini tidak harus dipersoalkan kerana ia telah menjadi perkara biasa setiap tahun. Bukan sahaja UKM, malahan disemua IPTA dan di mana-mana negara sekali pun.

Menyentuh kekurangan doktor pergigian di negara ini Naib Canselor mengulas, UKM belum memikirkan untuk menambah pengambilan pelajar dalam bidang ini. UKM perlu memikirkan keperluan kemudahan dan pensyarah sebelum menambah jumlah pelajar dalam bidang pergigian. Setakat hari ini 56 tempat ditawarkan dan telah pun diisi.

Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah hari ini mengetuai pegawai-pegawai UKM membuat lawatan meninjau proses pendaftaran pelajar baru.

Naib Canselor juga mengiringi Dato Saifudin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang meninjau proses pendaftaran di Koleh Amirudin Baki. Menurut Naib Canselor , Timbalan Menteri Pengajian Tinggi begitu berpuashati dengan proses pendaftaran tersebut.

21 Jun 2009

Majlis tamat latihan dan pelantikan Kor SUKSIS 2009


Anggota Kor SUKSIS UKM


KS/20524 Mohd Zulhafies bin Idrus


KS/20552 Nurul Fatihah bt Hussain


KS/20514 Lim Kean Sing

Foto oleh: Raai Osman

Lihat album

Kerjasama amat dialu-alukan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan universiti untuk membangunkan Kor SUKSIS (Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi) di IPTA. Antaranya ialah untuk membangunkan kemudahan bagi anggota SUKSIS. Demikian harapan Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan ketika berucap di Majlis Tamat Latihan dan Pelantikan Kor SUKSIS bertempat di Universiti Putra Malaysia pagi ini.

Tan Sri Musa menegaskan anggota SUKSIS merupakan individu yang terpilih kerana syarat-syarat untuk pemilihan amat ketat. Justeru dengan menyertai Kor SUKSIS graduan akan menjadi individu yang bersemangat tinggi dan member menafaat dan memperolehi nilai tambah yang bergunakan kepada masyarakat dan negara. Disamping itu menurut Tan Sri Musa, dengan menyertai Kor SUKSIS, siswa dan siswi akan membantu mencegah jenayah di kampus.

Majlis Tamat Latihan dan Pelantikan Kor SUKSIS tahun ini telah disertai oleh 869 orang peserta yang terdiri daripada 15 buah IPTA termasuk oleh Kor SUKSIS UKM. Anggota SUKSIS UKM seramai 53 orang telah menamatkan latihan tahun ini.

Di majlis ini tiga orang anggota SUKSIS UKM menerima anugerah iaitu, KS/20524 Mohd Zulhafies bin Idrus muncul sebagai Pelatih Keseluruhan Terbaik UKM, KS/20552 Nurul Fatihah bt Hussain sebagai Pelatih Akademik Terbaik UKM dan KS/20514 Lim Kean Sing menerima anugerah Pelatih Latihan Luar Terbaik UKM.

Untuk rekod, Kor SUKSIS dicetus idea pada tahun 1999 oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi kemudian telah dilancarkan secara rasmi oleh YDH Tan Sri Mohd Bakri bin Haji Omar Ketua polis ketika itu pada 28April 2003 bertempat di Universiti Utara Malaysia.

Tujuan utama penubuhan Kor SUKSIS adalah untuk menjadikan ia aktiviti kokurikulum pelajar di IPTA disamping membentuk sahsiah mahasiswa dan mahasiswi supaya menjadi pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.

Turut hadir di majlis ini ialah Naib Canselor UPM, pegawai kanan polis dan UPM. UKM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) yang merupakan Komandan Kor SUKSIS UKM, ACP/KS Profesor Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Razak dan pegawai SUKSIS UKM.

05 Jun 2009

UKM Terus Unggul dan Gemilang


Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah
Syed Hasan Shahabudin ketika berucap di Majlis
Anugerah Kualiti kali ke-17


Naib Canselor sedang mengiringi Yang Amat Berbahagia
Tun Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid
di Majlis Anugerah Kualiti Ke-17 UKM


Foto oleh: Ismail dan Raai

Lihat album penuh

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperkenalkan beberapa kaedah untuk mencetuskan kretiviti, inovasi dan penambahbaikan ke atas sistem prosuder dan proses Kerja dan menyahkan prosuder dan proses yang lapuk zaman dan tabiat serta amalan tidak produktif.

Demikian kata Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika berucap di Majlis Anugerah Kualiti kali ke-17 di Bangi hari ini.

“Salah satu kaedah adalah memperahui sistem penilaian prestasi tahunan yang menekankan aspek inovasi dan penambahbaikan berterusan. Satu lagi kaedah adalah memperkenalkan anugerah inovasi di perinbgkat PTJ setiap empat bulan. Tujuannya adalah mencungkil inovasi, walau sekecilnya, disemua peringkat dan memberi pengiktirafan sebagai dorongan bagi inovasi yang lebih besar “, jelas Naib Canselor.

Menurut Naib Canselor, Sistem Aduan Dalaman (SAD) juga dipertingkatkan supaya lebih mudah mendapat maklumbalas bagi pengukuran dan pemantauan kualiti. UKM telah bersiap sedia untuk menghadapi audit MQA. Harapan Naib Canselor, dengan sokongan semua pihak di UKM, tauliah dengan status self accreditation akan diperolehi.

Naib Canselor telah melahirkan penghargaan dengan hasil usaha cemerlang warganya maka menjadikan UKM tempat kedua dalam senarai terbaik di Malaysia dan tempat ke-51 dalam Asian Ranking. Manakala diperingkat global, UKM menduduki tangga 250 pada tahun 2008.

Di Majlis Anugerah Kualiti Ke-17 dengan tema “ Terus Unggul dan Gemilang” UKM telah menganugerahkan Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun seramai 61 orang, Anugerah Perkhidmatan 20 tahun kepada 46 penerima dan seramai 726 orang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Anugerah-anugerah telah disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dan Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.. Turut hadir di majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari dan pegawai-pegawai kanan UKM

28 Mei 2009

Bual Bicara Permata Pintar Negara

Bersama Datin Paduka Seri Rosmah Mansor-Isteri Perdana Menteri Malaysia







Foto oleh: Raai Osman
Lihat album penuh



Satu program bual bicara PERMATAPintar Negara bersama Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah berlangsung di UKM pagi ini. Program ini membawa seramai tujuh individu remaja yang berjaya dalam bidang pelajaran diperingkat muda. Remaja yang terdiri dari berbagai bangsa telah dibawa menyertai forum ini bagi membicarakan bagaimana mereka boleh berjaya pada peringkat muda bersama isteri Perdana Menteri Malaysia.



Datin Paduka Seri Rosmah dalam ucapannya menjelaskan Program PERMATAPintar Negara adalah satu program yang telah dibangunkan khusus untuk pelajar-pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar pintar cerdas. Program ini menyediakan aktiviti yang boleh membantu pelajar-pelajar pintar cerdas mengembangkan potensi diri mereka ke tahap yang maksimun serta meningkatkan kreativiti untuk menjadikan lebih inovatif.



Manakala satu Program Perkhemahan Cuti Sekolah akan berlangsung pada bulan Disember ini dengan menggunakan khidmat fasilitator yang menjadi pengajar bagi kursus yang akan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran. Selain kaedah perbincangan, pelajar akan turut serta dalam menjalankan eksperimen, membuat dan membina contohnya, robot yang boleh berfungsi, melakukan eksplorasi alam semulajadi di luar bilik kuliah seperti di taman paku pakis, hutan pendidikan alam dan sebagainya.



Program Perkhemahan Cuti Sekolah ini akan mengikut format yang telah disediakan oleh Johns Hopkins University, Pihak UKM telah menjalinkan kerjasama dengan Johns Hopkins University.



Sebagai rekod, Program PERMATAPintar telah dilancarkan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada 2 Mac 2009 di UKM. Sejak itu banyak berlaku. Pelajar telah mula membuat ujian atas talian dan UKM telah melancarkan program di kalangan Pengarah-Pengarah pelajaran supaya mereka dapat mengenal pasti pelajar-pelajar pintar untuk menyertai program Permata Pintar.



“Program PERMATAPintar bertujuan mencungkil dan mengarap potensi dan mengembangkan lagi bakat kanak-kanak pintar. Mereka berkebolehan luar biasa, iaitu tidak sama seperti kanak-kanak lain. Adalah menjadi kewajipan kita untuk membantu mereka mencapai potensi semaksimum boleh” demikian kata Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan aluannya.


Turut hadir di majlis ini ialah pegawai-pegawai UKM, pegawai-pegawai kementerian pelajaran, guru-guru dan pelajar terpilih dari beberapa sekolah dari seluruh negara

26 Mei 2009

Majlis penyampaian Watikah Pelantikan Canselor UKM Ketiga


Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus,
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
Foto oleh: Raai Osman



Naib Canselor, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
sedang menyampaikan watikah pelantikan Canselor UKM Ketiga
kepada Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus,
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Turut kelihatan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM,
Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad- Foto oleh: Raai Osman

[ Album penuh Majlis Penyampaian Watikah (sedang dibangunkan)
Liputan Fotografi oleh: Prof Dr Kamaruddin M. Said, Ismail Ibrahim dan Raai Osman ]

Seremban-26 Mei 2009

Majlis penyampaian watikah pelantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Istana Hinggap, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus petang ini oleh Naib Canselor, Prof Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Turut hadir di majlis yang bersejarah ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato' Mohamad Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir Dr. Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Saran Kaur Gill, Pendaftar, En. Abd. Aziz Othman dan Bendahari, Hj. Mohd Abdul Rashid Mohd Fadzil.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz dilantik sebagai Canselor UKM Ketiga mulai 16 Mei 2009 hingga 15 Mei 2014 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menurut sekyen 10 (1) Perlembangaan Universiti Kebangsaan Malaysia [P.U.(A) 105/98].

UKM yang menyambut ulangtahun ke-39 pada 18 Mei lalu telah mempunyai dua Canselor sebelum ini iaitu Y.A.B Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein, mulai 7 Julai 1970 hingga 14 Januari 1976 dan DYMM Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman Mulai 15 Januari 1976 hingga 27 Disember 2008.

Majlis Konvokesyen Khas bagi tujuan pemasyhuran Canselor Ketiga akan diadakan dalam waktu terdekat ini di kampus UKM Bangi.


18 Mei 2009

Menjadikan UKM lebih gemilang


Pengarah Muzium Warisan Akademik, Prof. Emeritus
Dato' Dr Hood Mohd Salleh (kiri) dan Naib Canselor,
Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
(kanan sekali) sedang menerangkan mengenai
Cokmar UKM kepada Pro Canselor,Yang Amat Mulia
Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin




Gambar oleh:Raai dan Ikhwan


“Sesebuah Universiti akan lebih berwibawa sekiranya mempunyai catatan kejayaan yang dapat dihayati serta menjadi kebanggaan bangsa dan Negara. Muzium Akademik Universiti bukanlah sebuah konsep yang baru di peringkat antarabangsa. Muzium Universiti telah wujud berabad-abad lamanya seperti di Universiti Al-Azhar, Ashomolean Museum Oxford, Muzium Universiti Harvard, Muzium Arkeologi Cambrige, National Museum of Ethnology di Osaka dan Muzium Universiti Sydney yang sangat terkenal di kalangan penyelidik dan masyarakat di seluruh dunia. Muzium-muzium ini berperanan membantu dalam perkembangan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi ‘’, demikian ucapan Pro Canselor UKM, Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar ketika melancarkan Muzium Warisan Akademik UKM di Bangi hari ini. Majlis ini diadakan sempena sambutan UKM yang ke-39 tahun.


Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin dalam ucapannya juga mencadangkan beberapa perkara sebagai pengisian aktiviti sepanjang berlangsungnya Ambang 40 Tahun UKM.


Antaranya meningkatkan usaha untuk memartabatkan tiang-tiang atau landasan-landasan asas Negara dengan memainkan peranan utama seiring dengan kerajaan dan swasta untuk mengukuhkan lagi pemahaman terhadap usaha-usaha membina bangsa dan Negara. Sebagai Universiti penyelidikan, UKM perlu melipatgandakan kajian, penyelidikan dan seterusnya menghasilkan lebih banyak karya ilmiah dan buku yang berteraskan perjuangan Negara bangsa. UKM hendaklah berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Warisan serta lain-lain institusi untuk memantapkan lagi konsep dasar kokurikulum supaya lebih bermakna dan mesra rakyat, serta boleh memupuk perpaduan kaum.


Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan nya menegaskan sambutan ambang 40 tahun UKM diadakan bermula 18 Mei 2009 hingga 18 Mei 2010 bertujuan untuk pemerkasaan momentum dalam penataran keunggulan UKM sebagai universiti kebangsaan yang dibanggakan, yang mempunyai kebitaraan tersendiri, dari segi sejarah, perjuangan, perwatakan, program akademik dan hala tuju masa depannya.


Antara lain perayaan Ambang 40 Tahun UKM bertujuan memaparkan pencapaian UKM dan memeri peluang kepada masyarakat dan warga UKM menilai, mengupas dan menambah baik hala tuju, modus operandi dan hasil pencapaian selama ini.


“Menjelang ulang tahun ke-39, UKM telah diisytiharkan oleh Times Higher Education-QS World University Ranking sebagai universiti ke-51 terbaik Asia dan ke-2 terbaik di Malaysia. Pengiktirafan ini memberi banyak pengertian buat kita semua. Kedudukan ini melambangkan iltizam seluruh warga UKM yang telah mengangkat universiti kepada kedudukan sedemikian” demikian harapan Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah.


Di majlis ini, Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin telah melancarkan Muzium Warisan Akademik, Sambutan Ambang 40 Tahun UKM dan buku Muzium Warisan Akademik.


Satu majlis pengkisahan telah diadakan dengan menampilkan ahli-ahli panel dari kalangan alumni UKM pengambilan pertama pada tahun 1970 dan beberapa alumni selepas itu yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.


Ahli-ahli panel telah mengisahkan peristiwa peringkat awal mereka berada di UKM dan kesukaran menjadi pelajar perintis, cabaran itu akhirnya mereka telah membuktikan UKM mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan menjadi tokoh tertentu dalam masyarakat.

16 Mei 2009

Sukan Tahunan Tunas Permata UKM.





Foto oleh: Raai
Album penuh


Taman Tadika Tunas Permata UKM hari ini telah melangsungkan sukan tahunannya di Stadium UKM. Sukan tahunan ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Datin Dr. Siti Rahaya Ariffin.

Prof. Datin Dr. Siti Rahaya dalam ucapan perasmian sukan tersebut melahirkan perasaan bangganya kerana Fakulti Pendidikan telah dapat mengendalikan Tadika Tunas Permata UKM bermula tahun 2009 setelah diserahkan oleh Pusat Kembangan Pendidikan. Menurut beliau lagi, Fakulti Pendidikan memiliki ramai pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Prof. Datin Dr. Siti Rahaya juga mengumumkan sebuah bangunan tadika sedang dalam proses pembinaan yang jangka siap pada tahun 2010. Apabila siap bangunan tersebut ia akan dapat membantu meningkatkan kualiti pembelajaran kanak-kanak pra sekolah.

Tunas Permata UKM merupakan nama baharu yang perkenalkan mulai tahun ini bagi menampung keperluan warga UKM, kakitangan dan pelajar sarjana yang sedang belajar di UKM untuk menempatkan anak-anak mereka memperolehi pendidikan pra sekolah.

Sukan yang dilangsungkan pada hari ini telah dapat mempersembahkan beberapa acara yang mampu menonjolkan bakat-bakat dari kalangan kanak-kanak di Tunas Permata UKM.

Turut hadir di majlis ini ialah beberapa orang pegwai UKM dan pensyarah Fakulti Pendidikan.

24 April 2009

Tiada lemak babi dalam coklat


Makanan yang berasaskan haiwan menjadi isu sensitif kepada masyarakat Islam dan masyarakat yang mengamalkan makanan vegetarian. Jikalau termakan maka ia akan menjadi satu kesalahan. Demikian ujar Prof. Dr. Mamot Said dalam satu sidang akhbar di UKM hari ini.

Beliau menekankan bahawa tidak ada unsur-unsur lemak haiwan terutamanya lemak babi dalam mana-mana produk coklat yang ada di pasaran. Lemak yang dibenarkan hanyalah lemak tumbuhan itu pun tidak lebih 5% sahaja yang dibenarkan. Sila klik untuk
artikel lengkap

23 April 2009

Rosel jenis baru UKMR-1,UKMR-2 dan UKMR-3


UKMR-1 UKMR-2 UKMR-3

Foto oleh: Raai Osman
Album penuh

Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini telah melancar tiga jenis rosel baru yang dinamakan UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3.

Tiga jenis rosel ini mempunyai keistimewaannya tersendiri, tetapi secara keseluruhannya ketiga-tiga jenis rosel ini menampilkan saiz pokok yang sederhana besar, kurang tinggi, berbentuk tegak dan mempunyai tempoh matang yang lebih cepat berbanding induknya (variety Arab). Warna daun adalah hijau, kecuali jenis UKMR-2 yang mempunyai daun lebar dan warna hijau kemerahan. Bentuk buahnya agak berbeza dan menarik, tetapi bentuk dan saiz buah jenis UKMR-2 adalah mirip seperti induknya. Warna kaliks bagi jenis UKMR-1 merah, UKMR-2 merah hati dan UKMR-3 hijau muda.


Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah (No 2 kiri)
ketika melancarkan rosel baru UKMR-1,UKMR-2,UKMR-3
(No.1 dari kiri: Prof. Dr. Mohamad Osman, No 1 kanan
Dekan FST Prof. Dr Musa Ahmad
No 2 kanan Penyelidik Bersama Prof Dr Zainal Abidin Aziz.

Menurut Ketua Kumpulan Penyelidikan Rosel UKM,Prof. Dr Mohamad Osman yang bertanggungjawab menyelidik bersama kumpulannya, minat serta perhatian yang diberikan kepada industri rosel, tiga jenis rosel baru ini dijangka mempunyai potensi untuk dimajukan dalam mempelbagaikan penghasilan makanan di negara ini.

Program pembiakbakaan melalui mutasi aruhan telah dijalankan ke atas variety Arab dan dimulakan pada tahun 2006 menggunakan kemudahan gammacel UKM. Dengan menggunakan kaedah inivasi genetic telah berjaya dihasilkan .

Majlis pelancaran UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UKM YBhg Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.


Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah (no.3 dari kiri)
sedang menuai rosel di ladang UKM


Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah ketika berucap di majlis perlancaran rosel baru ini berkata senario penggunaan rosel tidak meluas, ekonomi berskala atau economy of scale tidak wujud, beliau mencadangkan mempelbagaikan penggunaan rosel dan juga memanfaatkan jenis baru ini. Antaranya beliau menyarankan menggunakan hasil koko yang diusahakan oleh FST bersama dengan rosel. Umpamanya dengan menjadikan rosel sebagai inti dalam coklat.

“Saya juga meminta ahli penyelidik ini bergabung dengan penyelidik Pusat Perubatan UKM bagi mengenalpasti bahan aktif sebenar yang boleh digunakan sebagai ubatan kerana saya dengar ada yang “claim” rosel boleh menurunkan darah tinggi. Sebagai universiti penyelidikan unggul, saya tidak menggalakkan “claim” sebegini. Semuanya mesti dibuktikan secara saintifik”, ujar Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah lagi.

Di majlis ini Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah menyarankan agar penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi dapat bergabung dengan penyelidik Fakulti Ekonomi, UKM-GSB dan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi untuk mengkaji bagaimana penanaman rosel dapat menjana kekayaan Negara dari segi meningkatkan permintaan pengguna.


Penyelidikan rosel UKMR-1,UKMR_2 dan UKMR-3 dilakukan oleh kumpulan penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi UKM yang diketuai Prof. Dr Mohamad Osman.

20 April 2009

Anugerah MAPIM 2009


Puan Aimie sedang menerima hadiah
Foto oleh: Ismail Ibrahim

Puan Aimie binti Johari Pegawai Penerbitan di Pusat Penerbitan dan Percetakan UKM telah memenangi Anugerah Editor Naskah Terbaik Sains Sosial dan Kemanusiaan

Beliau menerima anugerah tersebut dalam satu majlis anjuran Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang telah diadakan disebuah hotel ternama di Kuala Lumpur pada 18 April lalu.

Puan Aimie menerima anugerah itu menerusi buku yang dieditnya bertajuk Packaging Myths for Tourism The Rungus of Kudat karya Ong Puay Liu

17 April 2009

Syarahan Naib Canselor bertajuk “Membina Momentum Menatar Keunggulan Ekosistem Ilmu UKM sebagai Wahana”




Foto oleh Ismail, Raai dan Ikhwan
“Misi budaya dan sifat kebangsaan UKM inilah yang membezakan UKM daripada universiti lain dan memberinya kebitaraan tersendiri. Justeru, adalah tepat dan wajar, misi ini memjadi dokongan serta memberikan hala tuju semua warga UKM dalam keadaan negara memasuki fasa baru membina negara bangsa dan pradigma baru perpaduan. Malah, lebih daripada itu,misi ini dijelmakan sebagai nic utama UKM yang mengimbangi tujuh nic lain serta memandu misi pengantabarabangsaannya.”

Demikian antara sedutan syarahan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Dato” Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam Syarahan Naib Canselor yang bertajuk “Membina Momentum Menatar Keunggulan Ekosistem Ilmu UKM sebagai Wahana” bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Syarahan Naib Canselor ini merupakan siri ke-9 oleh Naib Canselor dan yang kedua bagi Prof. Dato” Dr. Sharifah Hapsah yang telah mengariskan beberapa visi perubahan UKM sederap dengan universiti terkehadapan dunia menjelang 2018, matlamat diperincikan seperti berikut:

- Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada dunia di samping menekankan penguasaan pelbagai bahasa.
- Memperkukuh jati diri kebangsaan dalam membangun masyarakat dinamis, bersatu padu, berakhlak mulia dan berminda global.
- Menjana, menyebar dan memindah ilmu, inovasi dan teknologi melalui jaringan kebangsaan dan global.
- Mengantarabangsa citra unggul dan sumbangan UKM untuk masyarakat sejagat.
- Memfokus sumber kepada bidang nic yang mewakili kekuatan dan kepentingan starategik Negara berlandas sistem penyampaian berkualiti.

Turut hadir di majlis ini ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor UKM dan pegawai-pegawai kanan UKM dan warga UKM.

14 April 2009

Seminar Biokejuruteraan, Penilaian Ekosistem dan Spesis anjuran Kumpulan Penyelidik Kesihatan Persekitaran



YB. Senator Datuk Maznah (kanan sekali) ketika melancarkan
buku Bio-Kejuruteraan Kelestarian Ekosistem Tanah
Tinggi dan Bukit Fraser Crown The Titiwangsa Range.
Bersama-sama Prof. Dr. Jumaat Adam (dua dari kanan),
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser
Haji Md. Hanafiah bin Abdul Talib (tiga dari kanan),
Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Rahmah Mohamed.


Foto: Raai Osman


Bukit Fraser 14 April 2009-

"Jangan potong walaupun sebatang ranting di Bukit Fraser", demikian harapan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Senator Datuk Maznah Mazlan di majlis perasmian Seminar Biokejuruteraan, Penilaian Ekosistem dan Spesis anjuran Kumpulan Penyelidik Kesihatan Persekitaran , Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Bukit Fraser mulai 13 hingga 15 April 2009.

Dalam ucapannya Datuk Mazanah mengharapkan agar kajian yang buat akan memberi faedah kepada pengunjung seperti bahan-bahan cetak untuk dibuat rujukan. Selain cenderamata pengunjung dapat membawa balik bahan informasi yang boleh dijadikan rujukan dikemudian hari.

Menurut Datuk Maznah setiap tahun dalam bulan Jun Pertandingan Mengecam Burung Antarabangsa Bukit Fraser diadakan, ini melambangkan Bukit Fraser talah mengekalkan alam sekitar untuk faedah masyarakat.

Tambah Datuk Maznah lagi, "Untuk mengekalkan nilai Bukit Fraser sebagai destinasi pemerhatian burung, PKBF akan mengadakan sebuah galeri 'nature & bird interpretive centre' tidak lama lagi. Ianya akan menjadi satu lagi tarikan bagi pengunjung ke Bukit Fraser".

Timbalan Naib Canselor UKM Prof. Dr. Rahmah Mohamed pula dalam ucapannya mewakili Naib Canselor berkata "Sebagai universiti penyelidikan, UKM amat komited dalam usaha untuk menjadi pusat penyelidikan terulung yang memartabtakan modal insan dan intelektual. Dengan kesungguhan dan kepakaran yang ada, para penyelidikan universiti berupaya mempertingkatkan lagi daya inovasi seterusnya memastikan projek penyelidikan memberi manfaat kepada negara amnya dan masyarakat setempat khususnya".

Seminar Biokejuruteraan, Penilaian Ekosistem dan Spesis diadakan bagi merealisasikan konsep Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai universiti penyelidikan di samping memperkenalkan bidang ini kepada masyarakat umum.

Di majlis ini dua buah buku telah dilancarkan oleh Datuk Maznah. Buku-buku tersebut ialah, Bio-Kejuruteraan Kelestarian Ekosistem Tanah Tinggi dan Bukit Fraser Crown The Titiwangsa Range.

09 April 2009

Bengkel Penghasilan dan Penggunaan Sumber Media untuk Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum


- Foto Kiri: Prof. Datin Dr. Amla Mohd. Salleh (kanan) sedang menyampaikan
cenderamata kepada Tuan Hj. Mohd Adenan bin Haji Deraman, Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Foto Kanan:Prof. Datin Dr. Amla Mohd. Salleh (kanan) sedang menyampaikan
cenderamata kepada En. Ag.Marten Hj. Abd. Rahman, Ketua Penolong Pengarah,
Bahagian Teknologi Pendidikan Labuan.



- Dr. Mohd. Arif (kanan) sedang menyampaikan
cenderamata
kepada Prof. Datin Dr. Amla Mohd. Salleh

-Dr Rosnani sedang menyampaikan kertaskerjanya
bertajuk "Bahan Sumber Pendidikan "

Laporan langsung dari Labuan.
Berita oleh: Raai;
Foto: Ismail dan Raai
Vedio: Kamarul dan Ruhaizad.
Lihat album di sini <sila klik>


WP Labuan 9 April 2009-Bengkel Penghasilan dan Penggunaan Sumber Media untuk Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum bertemakan Ke Arah Melahirkan Generasi Belia Beretika, Kreatif dan Celik IT sedang dilangsungkan mulai hari ini hingga 12 April bertempat di Dewan Konvensyen Wilayah Persekutuan Labuan.

Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan yang luas kepada pendidik mengenai beberapa jenis aspek penghasilan dan penggunaan media pengajaran. Pendidik berpeluang untuk mempelajari cara-cara merekabentuk, menghasilkan dan menggunakan media yang mengintegrasikan komponen-komponen multimedia seperti audio, vedio, animasi, teks, grafik dan lain-lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik dan kemahiran menggunakan teknologi mobil juga akan didedahkan.

Empat orang penceramah telah membentangkan kertaskerja iaitu Prof. Datin Dr. Amla Mohd. Salleh kertaskerja bertajuk "Nilai Merentasi Kurikulum"-UKM, Dr. Rosnani Hj. Mahmud-UPM kertaskerja "Bahan Sumber Pendidikan", Dr. Mohd Arif Hj. Ismail-UKM kertaskerja "Pendedahan Fotografi".

Bengkel selama tiga hari ini adalah anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia,Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Jabatan Pelajaran WP Labuan dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WP Labuan.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj. Mohd Adenan bin Haji Deraman, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia.

07 April 2009

Kursus Fotografi Digital UKM 2009




Ikhwan (dua dari kiri) sedang menerangkan bagaimana
menghasilkan gambar dengan teknik DOF




Kursus Fotografi Digital UKM 2009 anjuran Unit Latihan dengan kerjasama Pusat Penerbitan UKM telah diadakan mulai 5 hingga 7 April bertempat di De Palma Shah Alam,Selangor.

Seramai 50 orang warga kerja UKM telah menyertai kursus ini yang dikendalikan oleh tiga orang penceramah ia itu Prof Dr. Kamaruddin M.Said, Ismail Ibrahim dan Abd. Raai Osman. Manakala Ikhwan Hashim telah menjadi pemudahcara kepada peserta ketika mengadakan amali.

Peserta telah dibimbing bagaimana mengendalikan kamera digital dan cara-cara merakamkan gambar yang bermutu.

24 Mac 2009

Malam Dimensi Kesenian Islam


Foto oleh: Raai
Lihat album <klik di sini >

Malam Dimensi Kesenian Islam telah berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak pada malam Ahad lepas dengan tema "Keamanan Sejagat". Sebuah pentomen yang menggambarkan kesengsaraan rakyat Palestin telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar UKM.

Beberapa kumpulan nasyid terkenal seperti Inteam, Far-East, Devotees, Nice telah memberikan persembahan yang begitu mantap dan mendapat tepukan yang gemuruh.

Malam Dimensi Kesenian Islam dianjurkan oleh, Iakatan Studi Islam UKM, Aman Palestin Bhd, NasyidFm dan Pusat Kebudayaan UKM.

13 Mac 2009

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UKM 1430H






Foto oleh: Raai
Sila Klik untuk lihat album


15 orang pelajar telah menerima hadiah bagi beberapa pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat UKM tahun 1430 Hijrah bersamaan tahun 2009 yang telah berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) hari ini.

Mereka ialah:
1.Pertandingan Kuiz- Fauziani bt Yahaya, Norazwa bt Ahmad Ramli, Nor Azniza bt Ismail, Norjana bt Ismail, Suhairi bin Mohamad dan Muhd Izzudin bin Pisol.

2.Pertandingan Khat- Abdus Salam bin Morshidi, Mohd Zulkarnain bin Abdul Hamid dan Najihah bt Mohd Najid.

3.Pertandingan Penyampaian Teks Khutbah- Mohd Solehhe bin Ali, Mohd Zamri bin Abdul Haziz dan Mohd Hafiz bin Abdul Razak.

4.Pertandingan Penulisan Khutbah- Mohd Fadhil Mohd Hasbi Tan, Muhammad Faiz Fathi Asmori dan Mohd Shaiful bin Mohd Zahudi.

5.Pertandingan Penulisan Rencana Islam- Ridzuan Abdullah, Razali bin Hussaini dan Mohd Naqiuddin bin Ismail.

Sambutan Maulidur Rasul merupakan acara tahun yang diadakan peringkat UKM bagi memperingati Rasullah SAW yang diisi dengan program seperti perarakan kontenjen fakulti-fakulti, instutut dan pusat-pusat kecemerlangan.

Oleh kerana hujan yang turun sejak pukul 6.30 pagi maka acara perarakan tidak dapat diadakan. Bagi menggantikannya program berselawat keatas Rasul, bacaan Al Quran nyayian nasyid, forum diteruskan.

Dua orang ahli penal forum, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayati Syed Ismail dan Ustaz Fauzi Mustaffa telah mengupas peri mustahaknya majlis memperingati Rasullah SAW . Ahli penal juga telah membawa para hadirin dengan contoh-contoh peribadi mulia Rasullah SAW untuk dicontohi.

Turut hadir di majlis ini ialah Naib Canselor Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan UKM.