21 Julai 2009

Menjulang nama UKM kepersada global




Gambar: Ismail, Raai dan Ikhwan [
klik di sini]

Ke Bawah DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir menzahirkan kekaguman dengan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di UKM, terutamanya rancangan transformasi untuk melonjak menjadi salah satu daripada 50 Universiti ternama dunia pada tahun 2018.

"Beta penuh yakin dan berdoa, dengan komitmen serta sinergi pemimpin dan warganya, UKM mampu mencapai harapan tersebut. Untuk itu, Beta ucapkan syabas kepada Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor dan seluruh warga UKM", titah Tuanku Munawir.

Baginda bertitah demikian di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas yang diadakan dalam istiadat penuh gilang gemilang bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di kampus UKM Bangi.

Baginda Tuanku Munawir telah dimasyhurkan sebagai Canselor yang ketiga UKM, telah melahirkan rasa gembira dengan pencapaian UKM, yang bukan sahaja telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Universiti, malah telah meletakkan dirinya duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan Universiti dan Institusi ternama dunia dalam pelbagai bidang kerjasama.

Di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas, ini UKM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Peradaban Islam kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia.

"Penganugerahan ini adalah tanda penghormatan UKM atas kepimpinan cemerlang Tun Abdullah selama lebih empat dekat sebagai pentadbir kerajaan, termasuk empat tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia", titah Tuanku Canselor.

Tuanku Canselor juga betitah, "Antara lain, beliau tanpa jemu, telah melaksanakan pelbagai program yang mengajak rakyat jelata menghayati prinsip-prinsip moral dan etika dalam segala kegiatan kehidupan".

Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas ini turut dihadiri oleh Tengku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,Pro Canselor Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Bin Ahmad, Naib Canselor Y.Bhg. Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Timbalan-Timbalan Naib Canselor UKM, Kerabat DiRaja Negeri Sembilan,Tun Jeanne Abdullah dan pegawai-pegawai kanan UKM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan