18 Mei 2009

Menjadikan UKM lebih gemilang


Pengarah Muzium Warisan Akademik, Prof. Emeritus
Dato' Dr Hood Mohd Salleh (kiri) dan Naib Canselor,
Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
(kanan sekali) sedang menerangkan mengenai
Cokmar UKM kepada Pro Canselor,Yang Amat Mulia
Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin




Gambar oleh:Raai dan Ikhwan


“Sesebuah Universiti akan lebih berwibawa sekiranya mempunyai catatan kejayaan yang dapat dihayati serta menjadi kebanggaan bangsa dan Negara. Muzium Akademik Universiti bukanlah sebuah konsep yang baru di peringkat antarabangsa. Muzium Universiti telah wujud berabad-abad lamanya seperti di Universiti Al-Azhar, Ashomolean Museum Oxford, Muzium Universiti Harvard, Muzium Arkeologi Cambrige, National Museum of Ethnology di Osaka dan Muzium Universiti Sydney yang sangat terkenal di kalangan penyelidik dan masyarakat di seluruh dunia. Muzium-muzium ini berperanan membantu dalam perkembangan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi ‘’, demikian ucapan Pro Canselor UKM, Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar ketika melancarkan Muzium Warisan Akademik UKM di Bangi hari ini. Majlis ini diadakan sempena sambutan UKM yang ke-39 tahun.


Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin dalam ucapannya juga mencadangkan beberapa perkara sebagai pengisian aktiviti sepanjang berlangsungnya Ambang 40 Tahun UKM.


Antaranya meningkatkan usaha untuk memartabatkan tiang-tiang atau landasan-landasan asas Negara dengan memainkan peranan utama seiring dengan kerajaan dan swasta untuk mengukuhkan lagi pemahaman terhadap usaha-usaha membina bangsa dan Negara. Sebagai Universiti penyelidikan, UKM perlu melipatgandakan kajian, penyelidikan dan seterusnya menghasilkan lebih banyak karya ilmiah dan buku yang berteraskan perjuangan Negara bangsa. UKM hendaklah berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Warisan serta lain-lain institusi untuk memantapkan lagi konsep dasar kokurikulum supaya lebih bermakna dan mesra rakyat, serta boleh memupuk perpaduan kaum.


Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan nya menegaskan sambutan ambang 40 tahun UKM diadakan bermula 18 Mei 2009 hingga 18 Mei 2010 bertujuan untuk pemerkasaan momentum dalam penataran keunggulan UKM sebagai universiti kebangsaan yang dibanggakan, yang mempunyai kebitaraan tersendiri, dari segi sejarah, perjuangan, perwatakan, program akademik dan hala tuju masa depannya.


Antara lain perayaan Ambang 40 Tahun UKM bertujuan memaparkan pencapaian UKM dan memeri peluang kepada masyarakat dan warga UKM menilai, mengupas dan menambah baik hala tuju, modus operandi dan hasil pencapaian selama ini.


“Menjelang ulang tahun ke-39, UKM telah diisytiharkan oleh Times Higher Education-QS World University Ranking sebagai universiti ke-51 terbaik Asia dan ke-2 terbaik di Malaysia. Pengiktirafan ini memberi banyak pengertian buat kita semua. Kedudukan ini melambangkan iltizam seluruh warga UKM yang telah mengangkat universiti kepada kedudukan sedemikian” demikian harapan Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah.


Di majlis ini, Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin telah melancarkan Muzium Warisan Akademik, Sambutan Ambang 40 Tahun UKM dan buku Muzium Warisan Akademik.


Satu majlis pengkisahan telah diadakan dengan menampilkan ahli-ahli panel dari kalangan alumni UKM pengambilan pertama pada tahun 1970 dan beberapa alumni selepas itu yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.


Ahli-ahli panel telah mengisahkan peristiwa peringkat awal mereka berada di UKM dan kesukaran menjadi pelajar perintis, cabaran itu akhirnya mereka telah membuktikan UKM mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan menjadi tokoh tertentu dalam masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan