29 Jun 2009

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan



Foto: Ismail, Raai dan Ikhwan



Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini menekankan tiga perkara untuk diamati oleh pelajar baru sesi akademik 2009-2010.

Pertama adalah sejarah penubuhan UKM, keunggulan sebagai universiti kebangsaan dan yang ketiga adalah iltizam dan peranannya sebagai universiti penyelidikan yang sedang bergerak sederap universiti terkemuka dunia.

Menurut Naib Canselor, "UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 hasil aspirasi Raja-Raja Melayu sejak 1903 dan perjuangan nasionalis bangsa sejak 1920an yang mahukan sebuah universiti yang menerajui sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sejak penubuhannya UKM telah berjaya memartabatkan dan mengangkat Bahasa Kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu yang utuh dan diiktiraf di mata dunia ".

Perkara kedua yang disentuh oleh Naib Canselor ialah keunggulan UKM sebagai satu-satunya universiti kebangsaan di Negara ini.

"Perkataan kebangsaan mempunyai makna yang besar. Kita melambangkan ikon identiti Negara dan paksi penyatuan dan perpaduan negara bangsa", tegas Naib Canselor.

"Justeru tanggungjawab kita mencapai 1Malaysia amatlah berat. Komposisi pelajar di kampus juga melambangkan komposisi masyarakat Negara. Justeru apa yanbg kita lakukan di kampus boleh menjadi contoh yang baik bagi 1Malaysia ", sambung Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah.

Beliau berharap para pelajar akan memainkan peranan yang aktif untuk menterjemahkan misi 1Malaysia dari segi perpaduan kaum dan integrasi anatara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Bagi perkara ketiga, Naib Canselor menegaskan sebagai universiti penyelidikan, UKM sedang bergerak sederap dengan unversiti terkemuka dunia.

"UKM dipilih sebagai universiti penyelidikan berasaskan prestasinya yang cemerlang sejak ditubuhkan. Untuk memacu lagi kemajuan UKM, satu pelan transformasi telah dihasilkan bagi merangsang aspirasi sebuah universiti kebangsaan untuk sederap universiti terkemuka menjelang 2018. Pelan ini berlandaskan satu ekosistem ilmu UKM yang sangat unik. Para pelajar sekalian haruslah mengambil tahu dan memahami ekosistem ini kerana semua kita terlibat dalam menjayakannya", demikian tegas Naib Canselor.

Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah berucap demikian di hadapan 3,857 pelajar baru UKM sesi 2009-2010 yang melafazkan ikrar di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).


Turut hadir Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan-Dekan dan pegawai-pegawai kanan UKM.

Naib Canselor juga mahukan pelajar mengimbangi kegiatan akademik dan kokurikulum untuk membina kebertanggungjawapan sosial dan kemasyarakatan, kepimpinan dan jati diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan