29 Januari 2009

Majlis Tahlil untuk Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman


Foto kiri:YAM Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin

(berbaju putih nombor satu dari kanan) sedang mengaminkan doa.
Foto kanan: Naib Canselor (nombor tiga dari kanan) bersama Kerabat DiRaja
sedang membaca Surah Yasin.

Foto: Raai
Lihat:Album lengkap

Satu Majlis Tahlil untuk Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada malam ini di Masjid UKM selepas Solat Maghrib. Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Ke-10.

Turut hadir dimajlis tahlil ini ialah Pro Canselor UKM YAM Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Pro Canselor UKM Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Ahmad Rithauddeen Al-Haj bin Tengku Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Tan Sri Datuk Paduka Dr. Mazlan Ahmad, Naib Canselor Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan pegawai-pegawai kanan dan warga UKM. Beberapa orang Kerabat DiRaja turut serta di majlis tersebut.


Untuk rekod, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mula dilantik sebagai Canselor Kedua UKM pada 19 Jun 1976, di Majlis Konvokesyen Keempat UKM yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Di bawah naungan Almarhum Tuanku selama 32 tahun sebagai Canselor, UKM telah berjaya mengharungi cabaran serta mencapai kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terkemuka dan dihormati di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.


Semasa hayat, Almarhum Tuanku sentiasa menyemarakkan kegiatan keilmuan, kebudayaan dan sukan di kampus. Almarhum Tuanku telah menyuntik semangat juang yang tinggi kepada seluruh warga universiti untuk bersama-sama menjulang tinggi nama UKM. Pada 27 Disember 2008, Tuanku Ja'afar telah menghembus nafas baginda yang terakhir di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. Sesungguhnya UKM dan warganya merasa amat kehilangan dengan kemangkatan Tuanku Canselor yang berjiwa rakyat, berdedikasi dan komited serta prihatin terhadap pentingnya ilmu dalam memartabatkan tamadun bangsa. Al-fatihah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan